Terkini

Lelaki Berpakaian Wanita Dijumpai Mati Di sebuah Kondominium Mewah

SUBANG JAYA - Seorang lelaki yang berpakaian wanita ditemui terjatuh dari tingkat tiga sebuah kondominium mewah di SS19, pagi tadi.

Lelaki Berpakaian Wanita Dijumpai Mati Di sebuah Kondominium Mewah
Lelaki Berpakaian Wanita Dijumpai Mati Di sebuah Kondominium Mewah

Mangsa sebelum itu dikatakan bertengkar dengan seorang lelaki warga Afrika dalam sebuah unit kondominium kira-kira jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Senior Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menerima panggilan kira-kira jam 9.30 pagi mengatakan mangsa ditemui terjatuh dari ketinggian 12 meter.

Bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang mangsa berbaring di tingkat bawah kondominium lapan tingkat itu dalam keadaan berlumuran darah.

Hasil siasatan awal, mangsa yang berpakaian wanita dikenalpasti adalah seorang lelaki berumur 21 tahun dan berasal dari Sabah.

Menurut Yahaya terdapat banyak kesan calar, lebam dan berlaku pendarahan di telinga mangsa.

Bagaimanapun, pihaknya akan mendapatkan pengesahan daripada laporan bedah siasat yang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian mangsa.

Katanya lagi, berdasarkan maklumat dan petunjuk diperoleh daripada kawalan keselamatan kondominium, polis kemudian menyerbu sebuah unit rumah di tingkat tiga kondominium sama di mana mangsa dipercayai terjatuh.

“Polis menahan seorang lelaki berbangsa Afrika berusia 40 tahun dan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jiran di kawasan kondominium tersebut ada memberitahu terdengar bunyi suara seperti orang bertengkar dari rumah didiami warga Afrika itu kira-kira jam 6 pagi.

Jiran tersebut kemudian memberitahu mereka terdengar bunyi seperti bom meletup kira-kira jam 9 pagi sebelum menemui mangsa.

“Kita masih menyiasat apa hubungan mangsa dengan suspek yang ditahan. Motif dan bagaimana mangsa boleh terjatuh juga masih dalam siasatan,” katanya.

Menurut Yahaya lagi, rumah tersebut didiami lelaki warga Afrika dan mangsa bukan penduduk di kondominium tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.



SinarOnline

No comments