Terkini

Guru Didakwa Sebar dan Miliki Gambar Lucah

KOTA BHARU: Seorang guru dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah menggunakan aplikasi Internet untuk menghantar gambar lucah palsu membabitkan beberapa pemimpin negara dan memiliki filem lucah.

Guru Didakwa Sebar dan Miliki Gambar Lucah

Nik Adid Nik Mat, 43, dihukum Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Internet untuk menghantar gambar bertajuk 'Pesta Bogel' berunsur lucah di https://www.facebook.com/kopi.rajaakar dengan niat menyakiti hati orang lain di Jalan Maahad Saniah, Pasir Puteh, pada jam 9 malam, 8 Ogos 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa memiliki filem lucah di lokasi sama pada jam 4.45 pagi, 21 Ogos 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2014 yang dihukum seksyen 5(2) akta sama yang peruntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kelantan, Idham Abd Ghani, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor.

Mahkamah, bagaimanapun membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.


- Sinar Harian

No comments