Terkini

Rasuah Di FAM, SPRM Mahu TMJ Dedah "Rahsia" Dalam Pendrive

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan maklumat rasuah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Rasuah Di FAM, SPRM Mahu TMJ Dedah "Rahsia" Dalam Pendrive

Menerusi satu kenyataan lewat petang tadi, SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009.

“Berhubung dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa beliau mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“SPRM mengalu-alukan Tunku Ismail menyerahkan butiran berkaitan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Semalam, TMJ mendakwa diberikan pendrive yang mengandungi maklumat rasuah dalam FAM daripada sumber yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur.

Menurut TMJ, pendrive tersebut mengandungi maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengamal media dan bekas pemain yang digunakan FAM, duit kelab yang diambil Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang “merepek”.

Sementara itu, Facebook rasmi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Johor Southern Tigers hari ini berkata TMJ menitahkan dua daripada 279 halaman dokumen tertentu dikongsikan di suatu wadah – tanpa menyebut secara khusus apakah ia berkaitan dengan maklumat rasuah FAM.

Menurut laman itu, TMJ dan pegawai-pegawai kanan FAM bakal bertemu untuk berbincang secara “peribadi dan sulit” bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit, termasuk menggesa individu tertentu berundur daripada tugasan mereka dalam FAM.

Menurut laman itu lagi, TMJ mahu menyimpan sebahagian maklumat tersebut kerana ia “mempunyai nama yang mampu memberi implikasi besar pada individu tertentu”.

Mengulas perkembangan ini, pengamal undang-undang Syahredzan Johan berpandangan TMJ sebaiknya menyerahkan maklumat rasuah FAM kepada SPRM.

“Tapi terpulang kepada TMJ sendiri. Mungkin ada sebab mengapa tidak dilaporkan terus ke SPRM,” jawab peguam itu, dan menambah semua pihak wajar menyokong usaha membanteras salahlaku.

“FAM patut berhubung dan bekerjasama dengan TMJ untuk sama-sama membanteras apa-apa salahlaku yang mungkin ada.

“Tetapi pada pihak berkuasa, samada SPRM atau polis tidak perlu tunggu laporan. Boleh sahaja proaktif dan menghubungi TMJ untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi FMT.

No comments